Kisah Makcik Zaiton

Assalamualaikum...

Hii...

Hari ini, aku mendapat khabar tentang Makcik Zaiton. Usah dicari entry Makcik Zaiton di sini kerana aku belum pernah bercerita tentang makcik. Ini entry pertama berkenaan Makcik Zaiton.

Jika ada yang berjumpa dengan FB aku mungkin di situ boleh cuba digali cerita tentang makcik. Di sana, aku pernah 'up' kan cerita makcik untuk mengumpul dana untuk makcik.

Siapa Makcik Zaiton? Bagaimana kenal? Kenapa aku begitu terkesan dengan Makcik Zaiton?

Di FB Kuantan, semuanya bermula. Terlihat satu status berkenaan permohonan derma/ dana bantuan. Di tag sekali dengan gambar. Aku tilik gambar, serasa macam kenal. Terus teringat kisah hari terakhir di bilik 'day care'. Cycle terakhir kimoterapi. Katil kami berhadapan. Ya, betullah! Mukanya masih aku ingat. Makcik Zaiton badannya sedikit gempal. Hari itu, aku senyum. Tapi tak dibalas. Memang seperti mahu berbual dengannya, disebabkan senyumku tak dibalas makanya aku mengandaikan dia mahu menyendiri. Mahukan.privacy. Rupanya aku silap. Makcik Zaiton itu buta. Di bawa anaknya ke tandas menggunakan kerusi roda. Terdengar perbualan mereka baru aku tau. Padanlah senyumku tak dibalas. Terasa kelakar tiba-tiba.

Seharian aku di 'daycare', terdengarlah jururawat bercakap dengan anak perempuannya. Berkenaan rawatan seterusnya iaitu Radioterapi. Kata anaknya, mereka kekangan kenderaan untuk menghantar makcik ke HKL. Untuk menaiki bas, agak mustahil. Sudahlah tak nampak, sukar untuk bergerak. Tambahan lagi, perlukan peneman sepanjang hampir sebulan untuk rawatan tersebut. Sedangkan anaknya masih punya tangungjawab di sini. Kisah pertemuan pertama kami habis di situ. Agak aku lebih kurang akhir bulan 6 (sebelum puasa).

Kuasa Allah, aku bertemu kembali Makcik Zaiton. Tapi kali ni jauh betul beza keadaan makcik. Berbekalkan status di FB, suamiku menghubungi nombor yang disertakan bersama. Berjumpalah kami dgn cucu saudara Makcik Zaiton terus dibawa kami ke rumah makcik yang dianggap seperti neneknya sendiri. Dahulu, makcik boleh duduk, sekarang makcik hanya baring. Bangun duduk untuk makan atau minum pun perlu dipangku. Badannya agak susut. Bila diajak bercakap, tidak seceloteh kali pertama kami berjumpa. Suami makcik namanya pakcik Sabri. Pakcik pun buta. Tambah lagi kurang sihat. Penyakitnya buah pinggang ditambah dengan gout. Allahurabbi. Begitulah ujian untuk mereka. Anak perempuannya hanya bekerja dipasaraya. Berapa sangat yang boleh dibantu. Cucu saudara makcik yang membawa kami ke sana pula, kerjanya berniaga di pasar malam. Kalau anda pesakit atau caregiver pesakit cancer pasti anda tau bahawa kewangan dan masa sangat menjadi perkara utama bagi kami. makcik Zaiton dah tak boleh bergerak. Makanya, perlukan lampin pakai buang. Makannya pun dah tak lalu. Ikut kepada kebiasaan, makcik perlukan susu. Tapi, satu tin yang sedang itupun cecah seratus lebih. Jika diguna hanya mampu bertahan kurang seminggu. Jadi, makcik makan apa yang ada.
(InsyaAllah, kak Ratna dalam proses untuk salurkan bantuan susu dan lampin dari MAKNA)

JKM, kad OKU dan memang mereka penerima bantuan. Tapi berapa sangatlah untuk menampung rawatan pakcik dan makcik, sememangnya tak mencukupi. Bergenang air mata. Sedih mengenangkan keadaan mereka. Aku bertanyakan pada cucunya, apakah makcik ada ke HKL untuk rawatan radioterapi? Sangkaan aku tepat. Makcik tak pergi. Kekangan seperti di atas.

Hari ini, aku mendapat khabar. Makcik dah dimasukkan ke wad HTAA. Ditebuk kepala untuk keluarkan air. Sel kanser makcik dah merebak ke sebelah payudara kanan. Kata cucunya, doktor mengesahkan kanser makcik dah diperingkat 4. Sudah tiada rawatan untuk makcik hanya tinggal rawatan paliatif. Sekarang, aku dan suami buntu. Bagaimana untuk membantu makcik. Kata suamiku, "jangan kita putus asa. Kita ikhtiar cara lain." Tapi cara lain perlukan duit. Di mana kami mahu mencari dana untuk membantu makcik Zaiton?

P/S: Makcik Zaiton telah menhembuskan nafas yg terakhir pada pukul 4.30 pagi td (25/11/2015). Sudilah kiranya dititipkan sedekah untuh arwah.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Radioterapi

Kimoterapi: 2nd cycle

CT Scan