Ujian Hadir Untuk Semua

Assalamualaikum dan hiii...

Buat pertama kalinya aku buntu tidak tahu bagaimana untuk menyusun ayat walaupun sekadar ayat tunggang langgang sekalipun. Buat pertama kali ini juga, aku mengambil masa yang sangat lama untuk menekan butang publish kerana setiap kali aku taip dan aku akan kembali padam. Berulang-ulang kali. Hampir seminggu. Sekiranya aku berjaya menekan  butang publish hari ini, ia bermaksud sekali lagi aku telah berjaya memadam keseluruhan penulisan sebelum ini. Apa yang terpampang adalah adalah apa yang aku taip sebentar tadi.

Sebarang ujian yang hadir tidak kiralah sakit, kemalangan, anak-anak atau apa-apa sahaja yang dianggap ujian bukanlah semata-mata untuk mereka yang kita lihat secara zahiriahnya yang sedang menghadapi. Tetapi ujian tersebut adalah untuk semua termasuk kita yang mengetahui. Inilah yang selalu diingatkan oleh suami aku. Disebabkan blog ini wujud ketika aku sedang mengharungi proses rawatan kanser payudara makanya, aku akan bercerita dari sudut pandangan aku sebagai pesakit kanser.

Kebiasaannya emosi dan sikap pesakit kanser ini lebih kurang banyak adalah sama apabila mula-mula mengetahui keadaan diri sedang bertarung dengan kanser yang stigmanya adalah KEMATIAN. Ini apa yang berlaku pada diri aku. Sekiranya sama dengan anda, senyumlah kerana anda bukan keseorangan (sambil ketawa mengekek).

Berahsia. Pada mulanya, yang tahu keadaan aku adalah suami. Manusia yang berkongsi segala rasa dari bantal, makan minum, perasaan dan segalanya. Betapa pentingnya keadaan aku ketika itu yang memerlukan sokongan moral. Tanpa perlu berkata apa-apa hanya mendengar dan pelukkan hangat sahaja pun sangat membantu menjauhkan segala rasa di dalam diri ketika itu (bergenang air mata bila terimbau kembali kisah lalu). Hampir berminggu jugalah sebelum aku memberi keizinan kepada suami untuk memaklumkan kepada ibu mertua dan keluarga mertua. Ketika ini, keluarga aku sendiri pun aku tidak maklumkan atas beberapa kekangan alasan yang aku rasa tiada kepentingan untuk diceritakan di sini.

Takutnya Mati. Disebabkan takutnya akan mati kerana memikirkan dosa-dosa yang lalu, tanggungjawab yang belum selesai, meninggalkan isi dunia telah membuatkan aku seorang yang obses untuk mendapatkan segala info berkenaan kanser. Cuba sedaya upaya untuk menghilangkan kanser di dalam diri secepat yang mungkin. Ketika obses inilah, aku jumpa segala info berkenaan makanan tambahan. Pantang muncul iklan bebas kanser  pasti aku akan baca. Alhamdulillah aku ini bukan manusia punya duit 'berkepuk'. Maka, selamatlah aku dari membazir dan yang paling merbahaya merisikokan diri sendiri. Alhamdulillah. Walaubagaimanapun, aku tetap juga sempat membeli biji apricot di kedai makanan tambahan organik di Kuantan. Itupun hanya beberapa kali aku kunyah kerana malas dan rasa dia yang sangat tidak sedap. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, aku mendapat info menyatakan biji apricot boleh memberikan kesan tidak baik kepada hati dan akhirnya ia berakhir di tong sampah. Pernah dengar pokok belalai gajah? Sampai sekarang pokok belalai gajah masih utuh di dalam pasu di rumah dan sesekali aku akan petik untuk dibuat ulam nasi. Besederhanalah.

Takut Makan. Dalam perjalanan mendapatkan info kanser akan terselit info makanan yang perlu dielak oleh pesakit kanser sehinggakan menyebabkan trauma untuk makan. Alhamdulillah, aku tiada sangat rasa ini. Mungkin jarak pengesahan hasil biopsi dan pelan rawatan terlalu singkat. Jadi, aku tidak sempat untuk memutikkan rasa takut untuk makan. Aku ingin selitkan di sini untuk jangan sesekali membina rasa takut untuk makan sehinggakan sanggup berlapar dan rasa tertekan. Sekiranya makanan yang diambil tidak menyebabkan alahan maka, makanlah. Tidak perlu memberatkan kepala untuk memikirkan apa perlu, apa yang tidak perlu dimakan. Sekiranya pakar pemakanan menyatakan anda tidak perlu berpantang, cukuplah sekadar makan makanan seimbang mengikut piramid makanan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rasa Bersalah. Rasa inilah yang selalu membuatkan aku selalu susah hati, sedih dan menangis. Terlalu rasa bersalah menyusahkan orang sekeliling dan sedaya upaya untuk tidak melibatkan orang luar selain suami waima, dengan suami sendiri  juga perasaan ini menebal. Semakin menebal rasa itu apabila pernah terlihat dia menangis mungkin kerana susah hati dengan situasi kami ketika itu. Melihat dia seorang menguruskan aku, ibu mertua yang lanjut usia, kucing-kucing kami dan kadang-kadang anak-anak saudara menyebabkan aku makin rasa bersalah. Ketika aku sihat, sebahagian tugas-tugas itu aku akan uruskan. Atas sebab rasa ini juga, aku bertekad untuk cepat-cepat sihat dan memaksa diri untuk sentiasa berfikiran positif supaya aku kembali dapat berbagi tugasan seperti sebelum ini. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberikan hadiah yang tak ternilai ini. Seorang manusia yang bernama suami.

Penat membaca? Ada persamaan? Jika mahu berahsia, ambillah tempoh masa yang sesuai kerana jika dipendam perasaan itu akan semakin memberat. Sebaiknya, lepaskanlah. Bukanlah untuk menagih simpati tetapi untuk mengurangkan rasa gundah di dada. Namun, cabaran yang harus diterima sekiranya berita ini diumumkan pasti akan hadir info-info rawatan alternatif bersimpang siur dengan penjual-penjual makanan tambahan. Di sini, anda perlu berani untuk menyatakan, "Minta maaf, saya tidak berminat dan saya tak nak!".

Rasa takut mati, secara positifnya ia akan menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya. Rasa takut untuk menyalahi sesuatu atau seseorang dan segala tindak tanduk akan dipersoalkan kelak. Rasa ini akan membuatkan kita akan memaafkan kesemua kesalahan yang tidak adil pernah berlaku ke atas diri dan mengharapkan juga kesemua kesalahan yang pernah diri ini lakukan untuk dimaafkan.

Cubalah sedaya upaya untuk hilangkan rasa bersalah. Hargai pengalaman ini bersama-sama mereka sekeliling kita. Percaya atau tidak, pengalaman ini membuatkan ikatan ukhuwah semakin kuat bertaut.



**Jom layan lagu dari Freedom ~ Bermulanya Di sini**

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Radioterapi

Kisah Makcik Zaiton

Kimoterapi: 2nd cycle