Tanda-Tanda Kegagalan Jantung (Pengalaman sendiri)

 Assalamualaikum dan hii.


Alhamdulillah, Allah masih lagi bagi peluang aku meneruskan kehidupan dan melaksanakan tanggungjawab di atas dunia ini. 

Tajuk blog kali ini, aku akan bercerita mengenai tanda-tanda, rawatan dan tindakan yang aku ambil sepanjang perjalanan kisah kegagalan jantung berlaku.

Sekiranya anda pernah mengikuti kisah aku di blog ini, aku ada juga menceritakan perihal ini tetapi mungkin tidak terlalu lengkap dan tersusun.

Masalah kegagalan jantung yang aku hadapi dan baru ketahui di antara akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020 hadir dengan beberapa tanda. Tanda-tanda ini, sekiranya diselusuri sudah agak lama muncul cuma aku terlalu naif. Mungkin.


Tanda- tanda awal:

1. Penat/ letih yang agak melampau. (Andai aku sedang melakukan kerja-kerja rumah, aku perlu untuk mengambil beberapa kali tempoh berehat sebelum menyambung kembali).

2. Kerap kali batuk. (Batuk yang mengambil tempoh agak lama untuk sembuh, dan 'on, off').


(Kedua-dua tanda di atas telah muncul sebelum tanda-tanda seterusnya. Kenapa aku kurang menghiraukan tanda-tanda ini. Antaranya, aku adalah bekas pesakit kanser dan aku juga mempunyai masalah hyperthyroid ketika itu. Jadi, sebagai bekas pesakit kanser aku menjangkakan ini mungkin kesan dari rawatan-rawatan yang sebelum ini ditambah pula dengan masalah thyroid yang sedang dihadapi).


3. Semput. (Lebih dari 3 kali aku ke bahagian kecemasan hospital dan aku diberi oksigen atas dasar aku mengadu aku semput dan tidak dapat bernafas dengan baik).

4. Batuk berkahak yang teruk (Bermula dari sini, aku berulang ke klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Tetapi langsung tidak berkurang).

5. Saiz badan membulat (walaupun aku kurang makan sebab semput dan hilang selera makan. tetapi saiz badan makin membulat. Pipi tembam, perut membucit).

6. Berpeluh tanpa sebab. (Masalah ini pun aku menganggap ia disebabkan masalah thyroid. Keadaan berpeluh ketika itu seperti baru lepas berlari satu pusingan padang bola walhal, aku hanya duduk dan membuat kerja-kerja ofis yang sangat kurang pergerakkan).

7. Semput yang makin parah. (Ketika ini, aku tidak mampu untuk membawa fail kerja atau apa-apa yang berat untuk ke kelas. Berjalan beberapa langkah on the flat land pun aku perlu berhenti mencari nafas. Sungguh tidak selesa).

(Tanda-tanda terakhir seperti di bawah, membuatkan aku putus asa. Aku mula berdoa, mohon Allah ambil nyawa aku sesegera yang mungkin kerana aku tak mampu lagi untuk menanggung. Setiap kali temujanji, aku pasti akan mengadu berkenaan tanda-tanda ini. Jawapan mereka, mungkin sebab thyroid, mungkin sebab kesan rawatan kanser, mungkin sebab aku ada masalah anxiety. Tetapi tiada rawatan susulan dengan aduan aku. Sedih dan mengecewakan, tapi bila dikenang kembali, mungkin Allah tidak menggerakkan hati mereka ketika itu untuk buat further check up. Wallahualam).

8. Cirit-birit (on, off).

9. Langsung tidak dapat baring, mengiring dan tidur bagi tempoh yang lama (Ketika ini, aku hanya mampu tidur sambil duduk. Letih dan terlalu letih. Mengantuk tetapi tidak dapat tidur. Paling lama mungkin sejam atau dua jam. Kepala sakit, badan sakit, batuk berkahak tidak nampak tanda-tanda berkurang. Selang berapa saat, batuk lagi. Telan penadol beberapa biji mengharap dapat tidur, pun tidak berkesan langsung. Saat inilah aku mohon, Ya Allah, tolonglah ambil nyawa aku).


Apa tindakan yang aku buat apabila tanda-tanda ini muncul?

1. Aku mengadu kepada doktor pada setiap kali temujanji, rutin. Tiada tindakan susulan. ubat yang diberi ubat thyroid dengan dos ditambah. ECG test dibuat, hasilnya stabil/normal.

2. Suami membawa aku bercuti dengan alasan, mungkin aku ada masalah anxiety atas alasan beban kerja namun tiada perubahan. Malam pertama di hotel, suami bawa aku ke emergancy hospital kerajaan di daerah itu. Kadar oksigen aku normal. MO mengatakan aku hanya perlu berehat. Agaknya, MO juga assumed aku ada masalah anxiety ~ imoji sinis. Sedangkan, untuk aku melangkah 2 tapak aku perlu berhenti mencari oksigen. Perasaan itu seperti lemas di atas darat. Terkapai-kapai untuk hidup dan aku? Setiap kali itu berlaku, aku hanya minta mati. Percutian yang bukan cuti. Terperuk di dalam bilik. Hanya melayan angin laut berteman suami yang tidak putus asa memberikan semangat. Sama ketika melawan kanser dahulu. (He's only my caretaker yang ada di dunia ini, makhluk yang tak pernah kenal putus asa walaupun garang lebih dari singa 😂 hahaha....

3. Balik dari bercuti, suami membuat keputusan rujuk ke hospital lain untuk dapatkan pandangan kedua. 


Sesampai di sana, aku dimasukkan ke zon kuning. Aku maklumkan aku tidak dapat berbaring, rasa lemas. Najis aku berwarna hijau. Masih batuk berkahak. Kaki bengkak. Aku letih teramat letih kerana terlalu kurang tidur. Rawatan terus diberikan.

Aku diberikan ubat lawas kencing. Rupanya, saiz aku yang membulat disebabkan water retantion. Berat air, boleh tahan banyak. Aku ditahan di wad, jangkitan kuman di paru-paru, ada liquid di paru-paru. Ia kesan dari jantung bengkak (hanya dikesan melalui Echo Testing bukan ECG Testing). Sel darah yang membawa oksigen, membawa sekali air ke jantung. Doktor memaklumkan, keadaan ini mungkin disebabkan kesan rawatan kimoterapi dahulu. 

Tindakan doktor pakar di hospital ini adalah, menstabilkan tekanan darah dan mengembalikan keadaan jantung aku ke keadaan normal sebaik mungkin. Aku juga tidak boleh terlalu aktif dan perlu kawal pengambilan air dan makanan yang berbentuk sup. Maksimum sehari hanya 750 ml. Aku mula consumed dengan bisoprolol.

Keluar dari wad , Alhamdulillah. Keadaan bertambah baik. Much, much, much more better. Rekod dan rawatan aku dibawa kembali ke hospital lama kerana rekod rawatan kanser aku berada di sana. Aku telah dirujuk ke unit yang lebih tepat. Dos ubat thyroid dikurangkan. Dari 3 biji menjadi 1 biji sahaja. Hampir 2 bulan lepas, kes thyroid aku ditutup dan aku tidak perlu lagi untuk mengambil cabimazole. Alhamdulillah.

Sebagai makluman, injap jantung aku bocor/terbuka disebabkan jantung bengkak. Selain bisoprolol, aku dibekalkan dengan ubat lawas kencing. Berat setiap hari wajib pantau sendiri. Jika sehari berat naik mendadak dalam 1kg, aku perlu mengambil ubat lawas kencing. Mesti pantau untuk mengelakkan kerosakkan jantung berlaku lagi. 

Terakhir, pada 25/1/2022 adalah temujanji terakhir aku dengan perawat di unit tersebut. Secara rasmi, kes jantung dan throid aku ditutup. Tiada lagi ubat dibekalkan. Kes aku dihantar ke klinik kesihatan kawasan terdekat, pemantauan 6 bulan sekali. Alhamdulillah. Aku diingatkan, alert dengan semua tanda sebelum-sebelum ini. Jika keadaan kembali, terus rujuk ke kecemasan dan maklumkan kepada mereka. 


Aku ada mengatakan kepada doktor yang merawat, sebelum dikenalpasti masalah jantung.

"Doktor, I know something is not right with my body!". Jika anda juga tahu, perasan dengan keadaan badan sendiri teruslah ambil tindakan segera. Jika telah diambil tindakan tetapi masalah tidak pun berkurang, pergilah ke tempat lain untuk mendapatkan pandangan nasihat yang lain.


KENALILAH TUBUH BADAN SENDIRI.

JIKA ANDA ADA MASALAH JANTUNG, KAWAL PENGAMBILAN AIR, MASIN DAN BERLEMAK. PATUHI WAKTU PENGAMBILAN UBAT. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Radioterapi

Kisah Makcik Zaiton

Kimoterapi: 2nd cycle