Hargailah Pasangan Anda

Assalamualaikum...

Hai...

Hari ini aku terbaca satu status yang menarik minat aku untuk 'update' blog. Kata kuncinya, 'HARGAI PASANGAN ANDA'.

Aku mungkin salah seorang manusia yang diberikan rezeki oleh Allah punya pasangan yang terbaik pada diri ini. Tetapi, pasanganku juga pasti ada kekurangan seperti aku dan manusia-manusia biasa di luar sana. Kekurangan itulah yang memerlukan kami untuk saling lengkap melengkapi. Ya, banyak dugaan yang kami tempuh. Juga banyak yang manis kami terima.

Beberapa hari yang lepas, aku baru tersedar dengan realiti bahawa kami tidak akan punya keturunan dari susur kami berdua (sedang aku sebenarnya sudah sedia maklum dari awalnya yang untuk kami punya zuriat sendiri adalah mustahil). Kecuali dengan Kuasa Allah. Aku yang sudah begini, yang telah melalui rawatan, yang terpaksa menelan pil setiap malam, agak mustahil untuk punya anak~ tak punya keturunan. Tiada anak, tiada cucu, apatah lagi cicit. Kecuali dengan izin Allah.

Sebagai pasangan yang sentiasa menyokong walau apa keadaan. Masih setia di sini (walaupun, aku pernah usulkan untuk dia tambah isteri sekiranya dia inginkan zuriat dari darah dagingnya sendiri). Masih menyayangi, mencintai seperti selalu. Ya, setiap hari aku jatuh cinta dengan manusia yang sama.

Satu malam, kami bercerita dari hati ke hati. Bercerita tentang tindakan apa yang perlu dibuat jika salah seorang dari kami pergi dahulu. Di antara yang kami ceritakan,

Suamiku: Sayang, jika Hubby pergi dulu sayang kena kuat. Jika, ada jumpa pasangan yang lebih baik dari Hubby, Hubby izinkan Sayang kahwin lagi. (Aku waktu itu, dah berjurai air mata. Sebab aku tak terfikir untuk kahwin lagi. Sebab aku mahu untuk bersatu lagi dengannya di sana. Aku pun tak dapat nak fikir atau membayangkan bagaimana untuk aku hidup bersama dengan lelaki lain? Sangat mustahil).

Sambung suamiku, jika aku pula yang pergi dulu. Untuk dia berkahwin lain rasanya tidak. Biarlah dia sendiri, sementara menghabiskan sisa hidup yang ada. Malam itu juga, kami sama-sama menyampai wasiat masing-masing. Allahuakbar.

Aku akui, semenjak aku menjadi seorang isteri. Aku terlalu dimanjakan suami. Sedangkan semasa bujang, aku selesa bertindak sendiri. Lagi 2 bulan genap 7 tahun perkahwinan kami, aku terlalu bergantung dengan suami untuk tugasan harian. Ke mana pun bersama. Selama tempoh kami berkahwin ini juga, terlalu jarang aku memandu. Dialah yang akan menghantar & menjemput aku ke manapun. Sesekali, kalau terpaksa atas urusan kerja barulah diizinkan aku untuk memandu sendiri. Tidak pernah aku ke pasaraya, ke klinik, temujanji dengan pakar secara bersendirian. Tidak pernah!

Walaupun, bentuk badanku sudah tidak secantik dulu. Bagi aku, seperti belon kah kah kah. Tetap juga aku dilayan seperti dulu. Makan, minumku, keadaan kesihatanku, keperluan harianku, sentiasa dia utamakan. Bila aku mengadu kurang sihat, riak mukanya akan berubah. Jadi, aku kena pastikan keadaan kesihatan, stamina berada dalam keadaan tip top. Jika, aku dijemput Allah pulang ke sana aku mengharapkan biarlah aku dijemput dalam keadaan bukan sakit melarat. Serba salah untuk aku susahkan lagi orang sekeliling terutama suami. Cukuplah dengan pengalaman yang lepas.

Bagaimana keadaan kesihatan aku kini? Jujurnya, aku malas nak berfikir. Aku hanya melalui hari-hariku dengan sedaya upaya untuk bergembira dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah berikan.

Sifat Rahim kesayanganku, sangat menepati maksud itu sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Radioterapi

Kisah Makcik Zaiton

Kimoterapi: 2nd cycle